TAZKIRAH RAMADHAN 1436 (siri 1)
Ramadhan :Antara Pesta Adat dan Ibadah
Hari ini 18 Jun seluruh umat Islam mula berpuasa, menunaikan rukun Islam yang ke tiga. Rasa sensitif kepada kefardhuan ini dirasai oleh seluruh lapisan umur umat Islam.Alhamdulillah seandainya kefahaman ini menular jauh ke lubuk hati menandakan kesedaran iman masih ada. Asas takwa masih mantap,dengan berasa bimbang dimurkai Allah tuhan sarwajagat sekiranya kefardhuan gagal dilunaskan sebaik mungkin.
Allah swt mengingatkan dan mengikat kefardhuan puasa Ramadhan dengan ikatan takwa sebagai peringatan agar muslim tidak hilang fokus kepada ibadahnya. FirmanNya yang bermaksud:
“Wahai orang-orang Yang beriman! kamu Diwajibkan berpuasa sebagaimana Diwajibkan atas orang-orang Yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.”
Al Baqarah :183
Keyakinan kepada apa yang disabdakan oleh baginda Rasullullah saw tentang keistimewaan Ramadhan mudah mudahan terpahat rapi dalam alur kefahaman kita. Sabda Rasullulalh yang bermaksud:
“Apabila masuk bulan Ramadhan maka dibukakanlah pintu-pintu Syurga dan ditutupkan pintu-pintu neraka dan diikatlah syaitan syaitan.”
(Riwayat Bukhari dan Muslim)
Namun persoalannya: Kenapa puasa Ramadhan sahaja yang menjadikan kita sensitif kepada penetapan hukum ini.Tibanya Ramadhan berpusu pusu manusia mempedulikan Ramadhan, Sedangkan yang menjadi peruntukan hukum Allah bukan puasa sahaja.Kalau kita bertanya kenapa umat Islam tidak sensitif kepada penetapan hukum solat, hukum syahadah yang tidak difahami secara mendasar?Persoalan persoalan lain yang berkisar tentang tuntutan mukmin sebagai hamba kenapa tidak disemarakkan rasa sensitifnya?
Jawapan kepada persoalan ini tidak lain dan tidak bukan ialah kerana kejahilan. Jahiliyah yang masih membedung diri manusia yang mengaku muslim, menjadikan manusia itu tertipu dengan ibadah dan penyembahannya. Kita pinjamkan kata kata syeikh yusuf Al Qardhowi ;”Sesungguhnya sistem jahiliah tidak akan peduli sekiranya kita ingin laksanakan Islam secara juz’iyah sahaja tetapi yang membimbangkan pendokong jahiliah ialah sekiranya kita ingin laksanakan Islam seperti yang dibawa oleh Rasulullah”.
Tidak hairanlah kalua kita tinjau kedapatan acara acara yang dipenuhi sepanjang bulan Ramadhan saban tahun hanya berkisar kepada memenuhi kehendak badaniah dan adat sahaja.Kadang kadang menjadi medan golongan berkepentingan untuk meraih sokongan semata mata tanpa menjadikan penetasan makna takwa dalam hati sebagai keutamaan.
Inilah masalah yang membelenggu kefahaman dan pemikiran umat ketika ini.Memahami Islam secara tidak menyeluruh dan mempraktikkan sekadar yang mudah diikuti dan dirasai keuntungan pada dunia semata mata melayakkan kita memegang gelaran muslim yang tertipu. Ayuhlah kita derapkan langkah membuang jahiliah dalam laman pemikiran kita.Semarakkan kehambaan dengan kefahaman dan keimanan yang benar dan kental, semoga kita terus istiqomah dan pulang dengan penuh keredhaan Allah.
Ingatlah dengan penuh kefahaman sebesarmana sekali pun kita mengagungkan Ramadhan tidak boleh mengatasi keagungan Allah swt untuk diagungkan.Jadilah hamba Allah dan semoga tidak sesat menjadi hamba Ramadhan.
Renungilah firman Allah swt yang bermaksud:
Bukanlah menghadapkan wajahmu ke arah timur dan barat itu suatu kebajikan, akan tetapi Sesungguhnya kebajikan itu ialah beriman kepada Allah, hari Kemudian, malaikat-malaikat, kitab-kitab, nabi-nabi dan memberikan harta yang dicintainya kepada kerabatnya, anak-anak yatim, orang-orang miskin, musafir (yang memerlukan pertolongan) dan orang-orang yang meminta-minta; dan (memerdekakan) hamba sahaya, mendirikan shalat, dan menunaikan zakat; dan orang-orang yang menepati janjinya apabila ia berjanji, dan orang-orang yang sabar dalam kesempitan, penderitaan dan dalam peperangan. mereka Itulah orang-orang yang benar (imannya); dan mereka Itulah orang-orang yang bertakwa.
Al Baqarah : 177
ABD WAHID ZAINOL ABIDIN
Lajnah Tarbiah & Kepimpinan PKHL
MANUSIA JANGAN HILANG KEISTIMEWAANNYA.
Seluruh khalayak mengetahui dan menyedari bahawa manusia adalah makhluk terhebat yang diciptakan oleh Allah. Kehebatan manusia dari sudut jasad dan rohani serta keupayaan akal untuk berfikir menjadikan keistimewaan yang tiada tandingan di atas mukabumi Allah swt.
Kemajuan dunia dan perkembangan tamadunnya tidak boleh dipisahkan daripada peranan makhluk manusia sebagai agen yang membawa perubahan demi perubahan. Saban hari perkembangan ini terus rancak dan memperlihatan ragam manusia semakin berbagai dalam semua sudut merangkumi politik,ekonomi,kemasyarakatan dan sebagainya.
Melihat keistimewaan manusia dari sudut ciptaan semata mata tanpa ditunjangkan siapakah pencipta manusia adalah satu kegagalan memaknakan keistimewaan manusia. Sebagai makhluk yang penuh keistimewaan diciptakan Allah swt, manusia tidak boleh lari dari pertanggungjawapan sebagai hamba kepada Tuhannya. Darjat yang paling mulia di sisi Allah bagi seseorang manusia ialah apabila diakui oleh Allah seseorang itu sebagai hamba sebagaimana Allah mengakui Rasullullah saw sebagai hambaNya menerusi firmannya :
Maksudnya:
Maha Suci Allah, yang Telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Al Masjidil Haram ke Al Masjidil Aqsha yang Telah kami berkahi sekelilingnya agar kami perlihatkan kepadanya sebagian dari tanda-tanda (kebesaran) kami. Sesungguhnya dia adalah Maha mendengar lagi Maha Mengetahui.
(Al Isra’ : 1)
Manusia sebagai pemegang tugas khalifah dibebankan oleh Allah dengan taklifat (pertanggungjawapan). Taklifat yang ditugaskan oleh Allah kepada hambanya adalah sebagai medan untuk menguji samaada seseorang manusia itu akan berpihak kepada kebenaran atau kebatilan.Allah mengingatkan perkara ini menerusi firmannya yang bermaksud :
“Apakah manusia itu mengira bahwa mereka dibiarkan (saja) mengatakan: "Kami Telah beriman", sedang mereka tidak diuji lagi? Dan Sesungguhnya kami Telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, Maka Sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan Sesungguhnya dia mengetahui orang-orang yang dusta.
( Al Ankabut : 2-3)
Justeru manusia perlu mengetahui dan memahami bahawa
Manusia Dan Tugas Yang difahdhukan
Allah memilih makhluk bernama manusia untuk memikul amanah sebagai khalifah. Melunaskan tanggungjawab khalifah ialah dengan mempastikan diri manusia itu berpegang dengan agama yang disyariatkan oleh Allah. Kerangka agama yang terdiri daripada Iman, Islam dan Ihsan adalah teras teras utama yang wajib dimiliki oleh setiap manusia tanpa mengira ras,bangsa, keturunan ,warna kulit dan sempadan geografi.
Satu hakikat yang perlu difahamkan kepada seluruh manusia bahawa berada dalam Iman yang soheh adalah wajib, menganuti Islam yang syumul adalah wajib dan menghayati ketaatan dengan balutan Ihsan adalah wajib. Islam bukan satu agama yang boleh dipilih pilih. Ambil jika suka ditinggal jika membencinya.Islam mesti dianuti dan disampaikan kepada seluruh manusia seperti seruan Allah swt menerusi firmanNya yang bermaksud :
“ Hai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam keseluruhan, dan janganlah kamu turut langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu”
(Al baqarah : 208)
Tugas dan taklifat yang telah diperintahkan oleh Allah kepada manusia adalah tugas berbentuk fahdu.Ianya diturunkan menerusi wahyu dan menuntut manusia menunaikannya dengan syarat syarat yang telah ditentukan. Tugas seperti tuntutan Solat, puasa ,haji, zakat dan termasuk perkara berkaitan pengurusan kehidupan di dunia ini adalah perkara yang terangkum dalam tugas yang difardhukan oleh Allah kepada manusia.Bahkan tiada satupun urusan manusia di dunia ini yang boleh dipisahkan dengan arahan dan tugasan yang ditentukan Allah.
Manusia dan Keinginan
Sebagai manusia yang dibekalkan Allah dengan akal dan nafsu,manusia mempunyai naluri keinginan dan kehendak. Allah mengatur manusia supaya menyelaraskan kehendak menurut panduan yang ditetapkan Allah swt. Perumpamaan mudah yang boleh kita perhatikan ialah keinginan manusia untuk makan, Allah membenarkan manusia untuk makan tetapi mestilah makan dengan meraikan ketetapan Alllah swt misalnya makanan yang hendak dimakan mesti halal, bukan dicuri, bukan dari sumber yang ditegah dan bukan yang membawa mudharat kepada akal dan jasad.
Sememangnya keinginan dan kehendak manusia itu luas dan sukar dikawal namun Allah swt mengetahui kemampuan hambanya. Mematuhi ketetapan Allah adalah satu perjuangan dan amat dituntut, balasan pahala akan diganjari yang yang memetuhi ketetapan dan balasan dosa yang yang melanggar sempadan ketetapan Allah swt. Allah tidak akan memberati hambaNya dengan sesuatu yang tidak mampu dilakukan oleh hambaNya.
Firman Allah swt yang bermaksud :
“Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. ia mendapat pahala (dari kebajikan) yang diusahakannya dan ia mendapat siksa (dari kejahatan) yang dikerjakannya”
(Al baqarah : 286 )
Sebagai manusia yang dikurniakan kepintaran dan kecerdikan seharusnya kita berfikir agar tidak mensia siakan keistimewaan yang dikurniakan oleh Allah swt. Ingatlah Allah memberi kita pilihan sama ada ingin melalui jalan bahagia atau menempah jalan kehancuran. Usah kita cemari keistimewaan manusia dengan memilih jalan maksiat dan pendustaan. Allah mengingatkan menerusi firmanNya :
Maksudnya :
”Dan jiwa serta penyempurnaannya (ciptaannya),Maka Allah mengilhamkan kepada jiwa itu (jalan) kefasikan dan ketakwaannya.Sesungguhnya beruntunglah orang yang mensucikan jiwa itu,Dan Sesungguhnya merugilah orang yang mengotorinya.”
( As syams : 7-10)
Ingatlah lorong hidayah itu kurniaan yang cukup berharga, dambakanlah ianya tanpa uzur pohonlah kepada Allah selalu agar kita sentiasa istiqomah di jalannya dan rayulah selalu agar kita tidak diberati oleh beban yang tak mampu kita lunaskan.
Firman Allah swt yang bermaksud :
"Ya Tuhan kami, janganlah Engkau hukum kami jika kami lupa atau kami tersalah. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau bebankan kepada kami beban yang berat sebagaimana Engkau bebankan kepada orang-orang sebelum kami. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang tak sanggup kami memikulnya. beri ma'aflah Kami; ampunilah Kami; dan rahmatilah kami. Engkaulah penolong kami, Maka tolonglah kami terhadap kaum yang kafir."
Al Baqarah :286
Mohon Ampunan Allah
ABD WAHID ZAINOL ABIDIN